THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, April 30, 2009

Kajian Tindakan dalam Pendidikan

Apa itu Kajian Tindakan:

- Kajian / penyelidikan merupakan satu proses dan langkah-langkah yang digunakan untuk mengumpul dan menganalisis data untuk mendapatkan dan meningkatkan kefahaman ke atas sesuatu isu.

- Carr dan Kemmis (1986), menyatakan bahawa Kajian Tindakan adalah suatu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti penyelidikan untuk memperbaiki dan memahami amalan dan situasi sosial.

- Lomax (1994), Kajian Tindakan adalah dasar yang penting untuk inovasi pendidikan yang membolehkan guru melakukan inovasi dan perubahan dalam pendidikan.

Konsep Kajian Tindakan dalam pendidikan:

- Kehidupan manusia sering melibatkan proses melakukan penyelidikan. Sebagai contohnya, dalam bidang pendidikan khususnya dalam kurikulum di sekolah, guru-guru sering terdedah kepada berbagai-bagai situasi kompleks yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Jika guru ingin mengkaji situasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau bilik darjah, ia seharusnya memperolehi pengetahuan dan kemahiran asas mengenai kaedah dan teknik penyelidikan bagi menyelesaikan atau membuat penambahbaikan terhadap sesuatu isu. Kajian Tindakan adalah satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan guru sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan guru melalui refleksi dan inkuiri.

Kenapa Kajian Tindakan penting bagi guru?

- Kajian Tindakan adalah penting bagi guru-guru supaya mereka dapat memahami situasi di mana mereka berada dan melalui pemahaman terhadap situasi tersebut dapat membantu guru membuat keputusan yang berkaitan dengan pelbagai aktiviti meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran seperti aktiviti memperbaiki mutu pencapaian pelajar.

Proses Kajian Tindakan secara umum:

i) Kenal pasti masalah
ii)Kajian kepustakaan
iii)Menentukan pendekatan kajian mengumpul dan menganalisis
iv)Membincangkan dapatan dan implikasi kajian
v)Melaporkan kajian

Jenis-Jenis Kajian Tindakan:
i) Individu
ii) Kolaboratif
iii) Peringkat sekolah
iv) Peringkat daerah

Contoh Kajian Tindakan di dalam pendidikan:

Guru membuat penyelidikan terhadap masalah pelajar mengantuk di dalam kelas. Apabila guru dapat mengenalpasti masalah yang dialami oleh pelajar, guru merancang untuk mengatasinya dengan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menyeronokkan agar pelajar memberi fokus dalam proses P&P. Untuk melaksanakan kaedah atau strategi baru, guru perlu mengumpul dan menganalisis data melalui pemerhatian terhadap pelajar dan juga mendapatkan maklumat melalui guru-guru lain. Seterusnya guru membuat pemantauan dan penilaian.